PENAMPANG : Bank Rakyat menyampaikan sumbangan berjumlah RM144,000 kepada 72 sekolah di kawasan Penampang dan Kadamaian melibatkan 1,440 pelajar daripada keluarga B40.
Selain bantuan persekolahan, Bank Rakyat turut menyumbangkan 460 set komputer kepada 55 buah sekolah di kedua-dua kawasan itu.
Sumbangan disampaikan melalui Program Jangkauan Komuniti MADANI Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah di SK Piasau Kota Belud dan SMK Limbanak, Penampang, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ketika berucap Ewon berkata, ini menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasakan pendidikan dan membantu pelajar yang memerlukan.
“Bagi pihak pelajar dan sekolah yang menerima sumbangan-sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan dalam gerakan pendidikan bagi melengkapkan usaha sedia ada khususnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Katanya lagi, selepas memulakan tanggungjawab besar dalam kementerian ini dua tahun lepas, beliau mengatakan tanpa mengurangkan fokus sedia ada dalam kementerian itu, beliau mahu kementerian ini memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu saya telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi dan pendidikan,” katanya.
Ewon berkata, dalam bidang pendidikan Bank Rakyat, Yayasan Bank Rakyat bersama agensi-agensi lain di bawah kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak.
“Antaranya Program Ehsan@KUSKOP di mana Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan inisiatif ini yang akan dilaksanakan di tiga daerah yang mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi, iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.
“Inisiatif ini adalah program memperkasa pendidikan kepada anak-anak keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih melalui sumbangan sosial korporat Bank Rakyat yang diuruskan oleh Yayasan Bank Rakyat,” katanya.
Ewon berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan sebagai sebuah keluarga MADANI untuk mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran anak-anak di kawasan luar bandar, sekali gus menyemai budaya celik digital.
“Inisiatif ini juga jelas membuktikan bahawa kita semua, termasuk kerajaan, sektor awam serta swasta berkongsi matlamat dan tanggungjawab yang sama dalam memastikan tiada seorang pun golongan yang ketinggalan daripada menerima pendidikan dan kemudahan yang terbaik,” katanya.
