KUALA LUMPUR : Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, hari ini.
“Pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul mengesahkan tiada rakyat Malaysia menaiki pesawat Jeju Air Penerbangan 7C2216.
“Malaysia merakamkan perasaan simpati dan ucapan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terjejas dalam kejadian itu, dan juga kepada rakyat dan Kerajaan Korea,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pesawat membawa 181 orang itu terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di lapangan terbang di daerah Muan, barat daya Korea Selatan, dipercayai menyebabkan semua kecuali dua mangsa terkorban.
Agensi Berita Yonhap yang memetik pihak berkuasa melaporkan, dua mangsa terselamat dan 85 mangsa disahkan maut, manakala baki yang sebelum ini dilaporkan parah pula dianggap sudah meninggal dunia.
Semua mangsa yang masih hilang dipercayai telah meninggal dunia, kata pihak bomba sambil memaklumkan operasi kini beralih kepada usaha mencari mayat.
Seorang penumpang serta seorang kru – kedua-duanya wanita – diselamatkan sejurus selepas kejadian dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.
