LABUAN : Persatuan Ann Kway menyalurkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM30,000 kepada Hospital Labuan yang diadakan di Bilik Persidangan Hospital Labuan di sini, kelmarin.
Majlis Penyerahan peralatan itu disempurnakan Pengerusi Penganjur Chua Kim Kok bersama Pengerusi Ann Kway Labuan, Lim Wei Ti kepada Pengarah Hospital Labuan, Dr Adnan Musa Balidran.
Chua berkata, peralatan perubatan disumbangkan merupakan 10 katil, 15 unit Drip Stand, lima unit tilam angin bersama 10 set bantal.
Katanya, sumbangan ini dapat membantu pihak hospital memberikan perkhidmatan yang terbaik sekali gus memberi keselesaan kepada pesakit menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Ini adalah program kedua, sebelum ini kami juga pernah menghulurkan sumbangan pelbagai peralatan kesihatan untuk keperluan hospital Labuan iaitu semasa berlakunya pendamik COVID 19,” katanya.
Program ini disertai, Labuan Optic & Contact Lens, Maju Universal Engineering, Wawasan Maju Sama, Exiron Part Supply, Kedai Runcit Hong Fatt, BGG Hardware dan Yun Kwang Enterprise.
Selain itu, Persatuan Ann Kway turut menyumbang sejumlah kotak Limau Mandarin sebagai tanda penghargaan kepada doktor dan jururawat memberikan perkhidmatan terbaik dan penuh dedikasi kepada masyarakat Labuan selama ini.
“Kita juga memberikan sijil penghargaan kepada lima individu banyak menderma darah untuk Tabung Hospital Labuan,” jelas Chua.
Sementara itu, Dr. Adnan berkata, beliau mewakili seluruh warga kerja Hospital Labuan merakamkan penghargaan terima kasih diatas inisiatif murni dalam menghulurkan sumbangan kepada Hospital Labuan.
