LABUAN : Lebih 70 waris daripada empat generasi keluarga Allahyarham Datuk Fadzil Asmad berkumpul sempena Program Hari Keluarga DHF.
Semua ahli keluarga terdiri daripada anak, cucu dan cicit berkumpul sehari suntuk di HMD Villa Kampung Lubok Temiang, pada Sabtu lalu.
Menurut Penasihat Program Hari Keluarga DHF, Roslan Nunsi, 65 cucu pertama kepada Allahyarham Fadzil, program julung kalinya diadakan bertujuan menyatukan semua waris disamping memperkukuhkan hubungan silaturahim keluarga besar berkenaan.
Allahyarham Fadzil merupakan tokoh pemimpin yang pernah berjasa serta dikenali ramai bukan di Labuan tetapi juga di seluruh negeri Sabah.
“Dengan adanya perjumpaan ini kami dapat bermesra antara generasi pertama sehinggalah ke generasi ke empat ini.
“Secara tidak langsung kami dapat bertukar-tukar pandangan mengenai karier masing-masing khususnya generasi baharu keluarga besar DHF,” katanya.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk pertandingan Kilauan Emas melibatkan penyertaan generasi pertama iaitu anak-anak Allahyarham DHF, Cabutan Bertuah, senam robik dan Sukaneka.
Untuk rekod Allahyarham Fadzil dilahirkan pada 15 Oktober 1906 merupakan seorang negarawan pernah berjuang untuk kemerdekaan Labuan di bawah kerajaan Sabah daripada British.
Beliau merupakan salah seorang anggota perwakilan dalam Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 untuk mendapatkan Pungutan suara (referendum) penduduk Labuan bagi cadangan Kemerdekaan dan pembentukan Negara Malaysia.
Hasil sumbangan bakti kepada masyarakat beliau menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat negara dan negeri termasuk dianugerahkan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada tahun 1972.
Allahyarham Fadzil mempunyai sembilan orang anak hasil perkahwinan beliau dengan Allahyarhamah Datin Rosaminah Adul Latif.
Sembilan anak Allahyarham masih lagi bersama generasi keempat terdiri daripada Hamidah berusia 87 tahun, Jamilah, 86, Datin Azizah, 82, Kapten Rosli, 80, Ibrahim, 77, Abdul Ghani, 76, Haji Saadun, 73, Mariah, 69 dan Mohd Sidek,68 tahun.
Sementara itu, Roslan Nunsi anak sulong kepada Jamilah menzahirkan rasa syukur kerana kesemua ahli keluarga dapat berkumpul dalam suasana yang lebih harmoni.
Beliau juga berterima kasih kepada Pengerusi Penganjur Fauziah Mohd Din iaitu anak sulong kepada Datin Azizah memberi idea dan pandangan sehingga berjaya merealisasikan Hari Keluarga DHF.
Dalam pada itu, Fauziah Mohd Din ketika berucap pada majlis itu turut memberikan penghargaan kepada semua AJK Pelaksana terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.
