Lelaki miliki pelbagai rekod jenayah termasuk kes pecah rumah ditahan di Tawau

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah sehingga mengakibatkan kerugian RM10,000, di sekitar bandar Tawau baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek berikutan pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, mengikut laporan, rumah mangsa dipecah masuk melalui pintu belakang manakala pagar dan grill mangga dipercayai dirosakkan.

“Barang-barang berharga milik mangsa juga dilaporkan hilang manakala anggaran kerugian berjumlah RM 10,000.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau dikerahkan untuk mengenalpasti suspek dan satu serbuan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di sekitar Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, hasil serbuan tersebut pihak polis berjaya menemukan sebilah pisau beserta sarung, serta sebilah bearing scraper dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah dan barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang merujuk kepada kesalahan pecah rumah.

“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengumpulkan lebih banyak bukti,” jelas Jasmin.

Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai sejarah jenayah yang panjang.

“Suspek telah ditangkap beberapa kali di pelbagai daerah di Sabah dengan pertuduhan yang berbeza.

“Rekod tersebut termasuk dua kes di bawah Seksyen 451, satu di bawah Seksyen 441, dan satu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” kata Jasmin.

Beliau berkata, suspek juga pernah dituduh di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.