Lelaki warga asing menetak rakan akibat perselisihan faham ditahan polis

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing ditahan  dipercayai menyerang kenalannya menggunakan  parang di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas Tawau, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu, menyebabkan mangsa berusia 50 tahuncedera akibat ditetak.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya diserang oleh seorang lelaki dikenali.

“Polsi berdasarkan laporan tersebut bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia 30 tahun, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Mangsa dikatakan diserang menggunakan senjata parang ketika mangsa sedang bersarapan di kaki lima rumah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima tujuh jahitan di lengan kanan.

“Kejadian serangan menggunakan parang itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek terbabit.

“Polis berjaya merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan,” jelas Jasmin.

Menurutnya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.