Pemuda UMNO Beaufort fokus memperkasakan belia diperingkat akar umbi – Mohd Yazri

KUALA PENYU : Pemuda UMNO Bahagian Beaufort memberi tumpuan terhadap pembangunan belia sekali gus memperkasakan mereka di peringkat akar umbi.

Ketuanya, Ak. Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata, ini termasuk kepada memberi penekanan untuk menyerlahkan semula bakat kepimpinan, memperkasakan ekonomi serta meningkatkan kemahiran mereka pada masa hadapan.

Katanya, sehingga kini Pemuda UMNO Beaufort merancang pelbagai program dirangka bagi mendekati golongan ini termasuk kepimpinan, pendidikan, agama serta kegiatan sukan.

“Golongan belia merupakan pelapis kepimpinan masa depan serta menjamin kemakmuran serta kemajuan negara agar sentiasa membangun secara holisitik.

“Sudah golongan ini begitu diperlukan kerana mereka merupakan pewaris yang bakal mencorakkan negara serta menjadi pemimpin bagi menerajui negara suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Subuh Mencari Redha Allah di masjid Pekan Kuala Penyu, di sini kelmarin.

Mohd Yazri berkata, maju dan mundurnya sesebuah negara itu adalah bergantung sepenuhnya kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan serta ketokohan golongan belianya.

“Mereka (golongan belia) ini perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul sehingga mereka menjadi insan yang beriman, berilmu, beramal dan mempunyai akhlak mulia.

“Kerana ia akan mengukuhkan jati diri dan menjadikan mereka belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” jelas Mohd Yazri.