PTPTN kaji model pembiayaan baharu, efisyen kepada peminjam – Mustapha

KUALA LUMPUR : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  bekerjasama rapat dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan bagi mengkaji sekali gus mencadangkan model pembiayaan baharu yang lebih efisyen kepada peminjam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ini termasuklah memastikan penyelesaian  untuk jangka masa panjang bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Katanya, pemansuhan hutang PTPTN sukar dilaksanakan kerana kerajaan ketika ini mempunyai komitmen kewangan yang begitu besar.

“Pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang PTPTN.

“Isu PTPTN ini menjadi isu yang agak lama dan semua parti pun meletakkan dalam manifesto masing-masing, termasuk sebelah sini (kerajaan) dan juga yang di sebelah sana (pembangkang),” katanya di sini hari ini.

lBeliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) sama ada kementerian merancang untuk mengkaji semula keperluan pemansuhan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 seperti yang dijanjikan sebelum ini dan tindakan yang bakal diambil kepada peminjam yang gagal melunaskan tunggakan hutang.

Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pada masa kini sekarang memang untuk menghapuskan hutang berikutan komitmen kerajaan begitu besar.

“Kita juga kena fikirkan… bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu.

“Jadi maknanya, komitmen (bayaran) jika tidak silap dalam RM76 bilion yang sudah membayar, jadi kita perlukan dana ini untuk kita buat ‘rolling’ (pusingan) bagi membiayai pendidikan pelajar selepas ini,” jelas Mustapha.

Ketika menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai inisiatif kementerian bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman PTPTN, membabitkan tunggakan RM6 bilion oleh 430,000 peminjam, Mustapha berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman dan sekatan perjalanan kepada peminjam ingkar dihentikan sejak Jun 2018.

“PTPTN mengingatkan peminjam mengenai tunggakan dan tanggungjawab membuat bayaran balik dari semasa ke semasa.

“PTPTN menyediakan insentif tertentu bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, seperti membenarkan peminjam membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing,” kata Mustapha.