OGL dilaksanakan secara bersepadu, benteras jenayah rentas sempadan – Victor

KUDAT : Seamai 228 individu serta 200 rumah termasuk premis diperiksa secara bersepadu dalam Operasi Gasak Laut (OGL) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) pada 16 Oktober lalu.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata, OGL khas ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengekang elemen Jenayah Rentas Sempadan (JRS).

Katanya, ia juga membabitkan penyeludupan kontraban dan barang kawalan serta kesalahan-kesalahan lain dikenal pasti mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di ESSZONE.

“OGL Khas dilaksanakan secara besar-besaran untuk melumpuhkan mobiliti kegiatan JRS selain membasmi lokasi ‘staging point elemen’ JRS.

“Lokasi OGL kali ini dijalankan di perairan daerah ini di Kampung Sibogo Pondoh, Pulau Bankawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Victor berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang aduan awam berhubung kesalahan-kesalahan di atas sekali gus berusaha untuk menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

“Kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi mewujudkan elemen pencegahan, menjamin keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam kawasan perairan dan pesisir pantai daerah ini.

“ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah JRS terutama di ESSZONE bagi menyokong pembangunan negara,” jelas Victor.

Menurutnya, pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat agenda Malaysia Madani dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke kawasan ESSZONE bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan dikenal pasti mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah. 

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181atau melalui aplikasi WhatsApp di talian  011-63311072,” kata Victor.