KOTA KINABALU : Inovasi dalam sektor perhutanan memainkan peranan penting sekali gus mewujudkan kelestarian alam dan dunia yang lebih baik pada masa depan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, hutan dan inovasi menekankan keperluan untuk memanfaatkan inovasi teknologi bagi menangani ancaman yang semakin meningkat terhadap hutan.
Katahya, UMS melalui Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) mengadakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat UMS dengan mengangkat tema ‘Hutan dan Inovasi’.
“Ini bertujuan mendidik masyarakat bagaimana inovasi dan penggunaan teknologi seperti satelit, dron dan sistem maklumat geografi dapat meningkatkan keberkesanan dalam aktiviti pemantauan dan pemeliharaan hutan.
“Inovasi dapat membantu kita memulihkan, melindungi, mengurus, dan menggunakan hutan secara lestari dan efisien, serta mengurangkan risiko penebangan hutan, kemerosotan habitat, dan perubahan iklim,” katanya di sini semalam.
Kasim berkata, pendekatan secara holistik perlu diambil dalam penglibatan manusia dengan alam semula jadi untuk mencapai kesihatan optimum antara manusia, haiwan, hutan dan alam sekitar.
“Pengiktirafan kepentingan hutan untuk keselamatan dan keterjaminan makanan juga telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Untuk itu, tahniah diucapkan kepada warga UMS kerana berjaya menanam sebanyak 4,038 pokok pada tahun ini,” jelas Kasim.
Menurunya, beliau menaruh harapan agar program ini dapat meningkatkan kesedaran semua kakitangan, pelajar dan pemegang taruh di universiti.
“Ini khususnya dalam kepentingan pengurusan hutan lestari yang akan menyumbang kepada kesejahteraan generasi pada masa kini dan akan datang,” kata Kasim.
