RANAU : Seorang wanita warga emas dan cucu perempuannya melecur selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kantas Baru, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, mangsa berusia 60 tahun manakala cucunya berusia setahun masing-masing melecur di bahagian kaki.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.
“Pihak bomba bersama empat anggota dan pegawai bergegas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 70 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya. Turut terbakar sebuah kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua motosikal,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Ridwan berkata, dua mangsa wanita warga emas dan cucunya melecur lima peratus di bahagian kaki dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan pam angkut satu aliran, satu pancutan dengan sumber air terbuka dari kolam berhampiran.
“Api berjaya dikawal kira-kira jam 3 petang dan operasi ditamatkan sejam kemudian,” jelas Ridwan.
Menurutnya, setakat ini punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.
