Belanjawan negara akan terus fokus kepada pembangunan luar bandar Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Sabah dijangka terus menerima peruntukan untuk pembangunan luar bandar dalam Belanjawan 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau difahamkan di bawah Belanjawan 2025, peruntukan akan terus diberikan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

Katanya, ini bagi merapatkan jurang antara l luar bandar dan bandar serta menambah baik kemudahan asas, khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif di negeri ini.

“Bagi tujuan ini, tumpuan akan diberikan untuk memastikan akses penuh kepada kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata, pada masa yang sama, kerajaan akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat.

“Ini termasuk peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik serta langkah dan dasar yang akan menyaksikan pengagihan kekayaan negara secara adil,” katanya.

Menurutnya, kerajaan optimis Belanjawan Negara 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat untuk merealisasikan Ekonomi MADANI dengan kerjasama semua rakyat Malaysia.

“Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini (18 Oktober) di Parlimen adalah kerangka hala tuju jangka panjang ekonomi Malaysia.

“Ini bertujuan meningkatkan siling potensi ekonomi negara dan tahap kualiti kehidupan rakyat selaras dengan temanya “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” jelas Hajiji.

Beliau menyeru semua agensi dan jabatan menilai prestasi masing-masing sepanjang tempoh suku ketiga tahun ini.

“Agensi dan jabatan di Sabah perlu berupaya meneroka peluang untuk meningkatkan prestasi projek pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa projek pembangunan Persekutuan seperti sekolah dan klinik boleh dilaksanakan tanpa menunggu hak milik tanah dikeluarkan selagi tanah itu telah diwartakan untuk tujuan berkenaan.

“Sekiranya tanah diperlukan untuk membina sekolah dan klinik, kerajaan negeri akan memudahkan bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek,” katanya

sambil menambah penglibatan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi Persekutuan di Sabah perlu diperkukuh untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek.