TAWAU : Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok di bawah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Kampung Kalabakan, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, mangsa dikenali sebagai Shah Bakht Amin, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.
“Bomba bersama 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan bas sekolah bertembung dengan sebuah motosikal dan penunggangnya terperosok di bawah bas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah bas berkenaan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang,” jelas Jemishin.
