Dr. Lee Kuok Tiung perlu fokus kepada tugas, elak terlibat bermain isu-isu politik – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung perlu menumpukan sepenuhnya kepada tugasnya untuk melahirkan anak-anak menjadi insan yang berilmu serta bukan bermain dengan isu-isu politik.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, pensyarah ini boleh menumpukan kepada tugas hakikinya sekali gus tidak melontarkan pandangan yang lebih bersikap seperti berunsur berat sebelah.

Katanya, isu-isu yang diutarakan pensyarah ini merupakan isu dalam siasatan pihak berkuasa serta sudah tentu masalah diserahkan sepenuhnya kepada badan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

“Untuk pengetahuan Dr. Lee Kuok Tiung tugas serta prinsip UMNO ialah mempertahankan agama, bangsa, negeri dan negara….Untuk isu-isu melibatkan perkara-perkara  ini UMNO Sabah tiada kompromi.

“Dengan politik yang cukup dinamik sekarang dan tidak seperti dahulu ramai muka baharu serta anak-anak muda mula berkecimpung dalam bidang politik.

“Sudah tentu pemikiran mereka tidak sama dengan yang terdahulu…perdebatan itu cukup bagus untuk mencapai kesepakatan dalam meneruskan pentadbiran negeri dan negara, tetapi tiada lagi istilah Yes Boss,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, mana-mana pengkritik harus memberi kritikan atau kenyataan yang membina serta bukannya bertujuan memberi sokongan bagi menyebelahi mana-mana parti politik.

“Sebagai insan yang berilmu sudah tentu ilmu itu digunakan kepada  perkara yang betul pada tempatnya atau secara lebih baik.

“Strategi politik sudah tentu tidak akan diceritakan dengan mana-mana pihak sehingga ia dapat  direalisasikan dengan secara lebih baik,” jelas Jeffrey Nor.

Menurutnya, adalah lebih baik Dr. Lee Kuok Tiung menumpukan tugasnya hakikinya selaku pensyarah untuk melahirkan pelajar yang mengharumkan nama negeri dan negara pada masa depan.

“Kami mahu melihat tempat beliau mengajar iaitu UMS melahirkan anak-anak yang berfikiran matang, positif dalam menangani isu-isu yang tidak berkaitan agar negeri dan negara dapat terus hidup dalam aman damai.

“Dr. Lee Kuok Tiung bolehlah fokus kepada bidangnya serta jangan terlalu mengajar anak-anak didiknya bermain dengan isu-isu politik,” kata Jeffrey Nor.