10 pelancong cedera ringan, van terbabas ke gaung sedalam 50 meter

KUNDASANG : Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan sepuluh mangsa tersepit selepas sebuah Van Urvan mereka terbabas ke gaung sedalam 50 meter, di kawasan pusat pelancongan Nickgold Resort Kundasang di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, kesemua mangsa masing-masing berumur 4 hingga 68 tahun hanya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi mangsa merupakan warga emas tersepit.

Katanya, bomba mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas manakala kesemua mangsa di hantar ke Hopital Daerah Ranau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.56 malam tadi bersama lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Wasli Saupin kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 20 Kilometer.

“Apabila tiba di lokasi kejadian terdapat sembilan mangsa hanya mengalami cedera ringan manakala seorang warga emas dipercayai tersepit di dalam van berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridwan berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 9.50 malam tadi.