KOTA KINABALU : Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia menyambut baik pengumuman terkini Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 MW terbesar di Asia Tenggara.
Pengerusinya, David Chan berkata teknologi terkini ini ditempatkan dalam kontena bersaiz 40×30 kaki, dilengkapi dengan sistem penyimpanan data canggih, pemantauan penggunaan tenaga, dan keupayaan penyegerakan automatik.
Katanya, sistem ini akan memastikan pengurusan tenaga yang lebih efisien serta menstabilkan bekalan elektrik terutamanya ketika waktu puncak.
“Peningkatan penggunaan tenaga elektrik di Sabah, terutamanya pada waktu puncak, adalah kritikal bagi SESB untuk melabur dalam sistem seperti BESS bagi memastikan kestabilan grid dan mengelakkan gangguan bekalan elektrik.
“Teknologi inovatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga, tetapi juga menyediakan sandaran yang penting ketika permintaan tenaga meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, beliau menaruh keyakinan kepada SESB untuk menerajui integrasi teknologi canggih ini, memastikan keperluan pengguna dipenuhi tanpa sebarang gangguan.
“Orang ramai perlu sedar tentang manfaat sistem ini kerana ia merupakan langkah penting ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan cekap untuk Malaysia.
“Kita menggalakkan pelaburan berterusan dalam penyelesaian penyimpanan tenaga seperti BESS bagi memastikan infrastruktur tenaga yang berdaya tahan untuk semua,” jelas Chan.
