Rakyat perlu teruskan sokongan kepada kerajaan GRS – Joachim

RANAU : Penduduk kampung khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karagasan disaran menyokong siapa sahaja bakal dicalonkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ketika ini momentum serta penerimaan penduduk di kawasan ini sangat baik sekali gus memastikan GRS kembali menerajui semula kerajaan selepas PRN17 nanti.

“Sebagai contoh hari ini kita turun pada bersama pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang membuat tinjauan tapak mini dewan Kampung Gusi dijangka di bina pada tahun ini.

“Ini merupakan keperihatian kerajaan kepada penduduk kampung agar mereka mempunyai kemudahan untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya di sini semalam.

Joachim merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, beliau meminta agar ketua masyarakat bekerjasama rapat dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang.

“Saya ucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan sehingga ke hari ini sekali gus berharap agar sokongan ini berkekalan sehingga PRN17 nanti.

“Jangan mudah terpedaya kononnya saya hanya muncul pada waktu pilihan raya sahaja. Ini tidak benar sama sekali kerana beberapa kali saya mengadakan lawatan ke PDM ini,” kata Joachim.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk memberi manfaat kepada rakyat khsusnya di DUN Kundasang termasuk bekalan elektrik, projek jalan raya menuju ke SMK Ulu Sugut/ PDM Kaingaran.

“Selain itu projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kg. Mansalu serta bekalan air bersih semasa saya menjadi wakil rakyat di DUN Kundasang ini.

“Pembangunan ini sentiasa berterusan disalurkan oleh kerajaan bagi memastikan penduduk dapat memperoleh manfaatnya,” jelas Joachim.