Kemenangan BN DUN Nenggiri membawa petanda kebangkitan di Kelantan – Bung Moktar

KOTA KINABALU : Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani membawa signifikannya tersendiri sekali gus membawa kebangkitan semula parti khususnya di negeri Kelantan.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri  Bung Moktar Radin berkata, ini kerana negeri itu begitu sinonim dengan kekuatan PAS manakala kemenangan ini bakal menjulang kembali BN ke persada politik tanah air.

Katanya, kebangkitan rakyat mula ditunjukan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberikan mesej besar untuk bangkit melakukan perubahan besar kepada pembangunan yang gagal dilaksanakan Kerajaan Negeri  Kelantan.

“Kemenangan PRK DUN Nenggiri ini, kita perlu istiqamah serta tidak perlu bermegah tetapi perlu bekerja keras secara bijaksana untuk memantapkan parti.

“Rakyat bukan sahaja di DUN Nenggiri malah di seluruh negeri Kelantan malah perlu diterjemahkan dengan kerja keras sekali gus memperkasakan BN-Umno pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, calon BN Mohd Azmawi Fikri, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail dengan memperoleh 9,112 undi berbanding PAS 5,741 undi sekali gus BN meraih majoriti 3,372 undi.

Bung Moktar merupakan Ketua UMNO Sabah berkata, kemenangan BN dalam PRK memberikan pengajaran serta pengalaman kepada UMNO-BN Sabah yang bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN)17 akan datang.

“Pengalaman kita peroleh melalui  gerak kerja kempen berkaitan isu-isu semasa serta keadaan pembangunan infrastruktur di kawasan ini tidak jauh bezanya di Sabah.

“Kita akan aplikasikan kaedah kempen ini untuk diguna sama ketika dalam suasana PRN Sabah akan datang nanti,” katanya.