KUCHING : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meluangkan masa melawat atlit berbasikal Sabah, Akmal Thaqif Begurdy mengalami kecederaan semasa menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 di Riversite Majestic Hotel di sini semalam.
Akmal, 17 berasal dari daerah Tawau mengalami kecederaan semasa menyertai acara lepas beramai-ramai kategori perseorangan dan berpasukan di Lebuhraya Pehin Sri Adenan Satem pada 15 Ogos lalu.
Hajiji bersimpati dengan musibah menimpa Akmal dan mendoakannya agar cepat sembuh manakala Akmal kini ditemani ibu bapanya di Kuching.
Sementara itu Hajiji menghadiri upacara perasmian SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Beliau menggesa kontinjen Sabah yang beraksi di SUKMA Sarawak melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran 40 pingat emas.
Hajiji yakin pasukan Sabah mampu mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini dan mahu atlit negeri berjuang sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah.
Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan temasya sukan itu diadakan dengan penuh warna warni yang memaparkan keunikan budaya dan identiti bumi kenyalang yang beraneka ragam.
