LABUAN: Tujuh remaja ditahan dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar Taman Mutiara, Kampung Sungai Bedaun Labuan, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, kesemua remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan kehilangan empat motosikal dalam tempoh tidak sampai sebulan pada bulan Julai lalu.
Katanya, tangkapan pertama berjaya dilakukan pada 27 Julai lalu membabitkan dua suspek serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang sehari sebelum itu.
“Hasil dari siasatan lanjut terhadap remaja berkenaan membawa kepada tangkapan lima lagi remaja seterusnya menemukan kepada dua lagi motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Dua lagi motosikal berjaya ditemui oleh unit Selam Polis Marin serta Unit Forensik JSJ Sabah apabila motosikal terbabit disembunyikan serta dibuang di sebuah sungai tidak jauh kawasan Taman Mutiara,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Mohd Hamizi berkata, hasil saringan awal mendapati kesemua remaja ini disahkan tidak terlibat dengan penyalahan dadah sekali gus tidak mempunyai rekod jenayah.
“Empat daripada remaja tersebut masih bersekolah dan tiga lagi sudah tidak bersekolah kerana terlibat dalam curi motosikal selepas terpengaruh dengan rakan lain yang memiliki motosikal.
“Enam remaja tersebut telah di dakwa di mahkamah semalam, di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghapuskan kenderaan.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun, manakala seorang daripada rakan mereka akan dijadikan saksi pendakwaan,” jelas Mohd Hamizi.
Menurutnya, pihaknya percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal dalam tempoh kurang sebulan.
