TAWAU : Seorang buruh lelaki merupakan warga tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki 5.33 gram syabu di sebuah rumah tidak bernombor di Balung Tawau, isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan dalam ‘Ops Tapis’ dijalankan sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau, kira-kira jam 12.40 tengahari.
Katanya, dalam operasi tersebut polis mendapati suspek terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di kawasan rumahnya.
“Hasil pemeriksaan lanjut di rumahnya menemukan dua peket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.33 gram.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan ujian awal saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Tawau giat mengesan rangkaian pengedaran dadah serta tidak akan berkompromi dengan penjenayah sekali gus akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah.
“Mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, polis memerlukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat dalam membanteras kegiatan jenayah serta dadah di daerah ini,” jelas Jasmin.