Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya punca 60 ahli Warisan sertai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Seramai 60 ahli Parti Warisan (WARISAN) Kampung Suang Parai, Manggatal meninggalkan parti tersebut sekali gus menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini semalam.

Bekas Ketua Cawangannya, Mohd Saad Mohd Arif berkata, beliau menyertai Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai atas kehendak sendiri bersama 59 ahli lain sekali gus yakin terhadap perjuangan parti berkenaan.

Katanya, setakat ini banyak isu hak asasi manusia di kampung ini masih belum dapat diselesaikan termasuk membabitkan masalah bekalan air bersih serta elektrik.

“Kita mengambil segala inisiatif ini untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah hadapi sejak sekian lama oleh penduduk Kampung Suang Parai Lorong C namun sehingga kini masih belum dapat diselesaikan secara tuntas.

“Kami berharap agar Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai dapat membantu untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk khususnya di kampung ini,” katanya.

Sementara itu dalam peekembangan berkaitan, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai, Datuk Arshad Idris berkata, selain isu air dan elektrik, kampung itu berdepan masalah keadaan jalan raya yang teruk sejak sekian lama.

Katanya, penduduk kampung memerlukan kepimpinan yang boleh membawa mereka ke tahap boleh menyuarakan rasa tidak puas hati sekali gus dapat menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

“Kampung Suang Parai ini sudah lama diabaikan begitu sahaja tanpa ada pihak membantu. Sejak pentadbiran Warisan, tiada satu pun rayuan mereka dilayan.

“Kita tidak berjanji dapat menyelesaikan masalah mereka, tetapi kita akan memberikan perhatian serta berusaha sepenuhnya untuk membantu mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan dihadapi penduduk kampung,” jelas Arshad.