KOTA KINABALU : Pasukan TABS Sabah FC B16 mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Suparimau bagi kategori umur B16 selepas menewaskan pasukan Jubilo Academy 2-0 di padang sintetik Kompleks Sukan Likas, Ahad lepas.
Dengan kejayaan itu juga melonjak pasukan tersebut menghampiri kejuaraan meskipun masih berbaki dua lagi perlawanan pada Sabtu dan Ahad ini.
Pemain Mohd Ikram Hisyam bertindak cemerlang untuk menghasilkan gol pada saingan babak pertama bagi mendahului Jubilo Academy.
Ia disusuli gol kedua jaringan Mohd Ashraff Mazulan di separuh masa kedua menambah perit lawan sekali gus memastikan mata penuh dalam genggaman.
Jurulatih pasukan Rosly Jamal berkata, komitmen pemain dengan mempamerkan corak permainan terbaik merealisasikan impian pasukan untuk mencatat kemenangan berterusan.
Menurut beliau, pihaknya gembira dengan kesungguhan pemain beraksi dengan penuh semangat untuk memburu kemenangan setiap kali perlawanan.
“Kami masih mempunyai dua lagi baki perlawanan pada Sabtu dan Ahad ini dan jika para pemain terus menunjukkan prestasi permainan yang konsisten, pasukan mampu untuk mengungguli kategori umur B16,” kata Rosly ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, sudah tentu inilah harapan pasukan untuk menjuarai kategori umur tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil.
Katanya, sokongan dan suntikan semangat yang diberikan pihak pengurusan TABS juga menjadi tonik keyakinan pemain-pemain beraksi lebih baik setiap kali menghadapi lawan mereka.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan atas kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan pasukan ini. Ini adalah kejayaan bersama kami,” kata Rosly.
