KUALA LUMPUR: Tiga pengawal keselamatan warga Filipina ditahan kerana memiliki MyKad palsu dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di sekitar Puchong, semalam.
Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, siasatan awal mendapati mereka memperoleh MyKad palsu daripada ejen dengan bayaran RM250.
Tiga pengawal keselamatan ditahan dalam Ops Pengawal Keselamatan selepas disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu di sekitar Puchong, Selangor.
“Mereka yang ditahan berumur antara 27 tahun hingga 55 tahun dan semuanya adalah warga Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama dua minggu di lokasi terbabit.
Ketiga-tiga suspek terbabit yang tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain, ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Salah seorang suspek akan didakwa di mahkamah di mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Dua lagi suspek akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” kata jurucakap itu.
