Nazera wakil Malaysia ke Persidangan Antarabangsa Shusha OIC Youth Capital 2024 Azerbaijan

LABUAN : Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan telah dipilih mewakili Malaysia ke Persidangan Antarabangsa OIC Youth Capital 2024 yang diadakan di Azerbaijan Baru Baru ini.

Nazera merupakan jati Labuan pertama dipilih mewakili negara ke persidangan itu anjuran bersama Kementerian Belia Dan Sukan Azerbaijan dan Forum Belia Kerjasama Islam (ICYF).

Seorang lagi yang terpilih menyertai Persidangan tiga hari itu ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly.

Nazera berkata, secara keseluruhannya seramai 100 pemimpin muda yang berpengaruh Dari 36 negara telah diundang ke persidangan tersebut.

Antara negara yang  diundang termasuklah Sudan, Oman, Pakistan, Maghribi, Mesir, Indonesia, Angola, Botswana dan Algeria.

Hadir Sama Menteri Belia dan Sukan Azerbaijan, Farid Gayinov, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Azerbaijan, Indira Hajiyeva dan Presiden ICYF, Taha Ayhan dan beberapa pemimpin lain.

Nazera berkata, selain daripada Persidangan Kepimpinan dan Diplomasi Antarabangsa, pengisian lain adalah Forum Inovasi Sosial NexGen dan Bicara Belia Islam.

“Ini untuk keamanan dan keharmonian bertujuan untuk menggalakkan kerjasama antara belia dari Negara negara anggota OIC termasuk membincangkan isu isu kritikal global dan mencari penyelesaian yang inovatif.

“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih atas peluang ini dan berharap dapat memanfaatkan pengalaman ini untuk belajar dan berkongsi pengetahuan dengan belia dari negara negara lain,” jelas Nazera.

Menurutnya, ia juga adalah platform terbaik untuk kita memahami persepsi yang berbeza dan mencari penyelesaian bersama untuk isu isu global yang kita hadapi.

Nazera merupakan salah seorang Pegawai di Jabatan Hal Ehwal Korporat, Perbadanan Labuan  menjelaskan peserta yang menyertai persidangan itu berpeluang untuk melawat pelbagai tempat tarikan bersejarah di Shusha serta mempelajari lebih lanjut  budaya dan tradisi Rakyat Azerbaijan.