LABUAN : Sebanyak 34 kenderaan disita melibatkan pelbagai jenis atas kesalahan melebihi had tempoh 90 hari keluar dari Pulau Labuan.
Pengarah Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, kenderaan disita melibatkan pemilik kenderaan melanggar syarat Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Katanya, sepanjang Operasi Radu dilaksanakan 34 buah kenderaan pelbagai jenama disita dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM3.085 juta.
“Kesemua kenderaan disita akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d)Akta Kastam 1967.
“Kastam akan terus mempergiatkan Operasi Radu memburu pemilik pemilik kenderaan yang ingkar mematuhi arahan untuk kembali ke Labuan selepas tamat tempoh keluar 90 hari dari pulau bebas cukai,” katanya dalam sidang media hari ini.
Aspalila berkata, peraturan ini seperti terkandung Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian )2017.
“Berdasarkan Butiran 24, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, kenderaan dibeli di Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Kastam Utama Kastam (KUK) tidak melebihi 90 hari dalam setahun.
“Antara jenis kenderaan yang berjaya disita dalam operasi itu termasuk kereta mewah jenama Mercedes Benz, Toyota Vellfire, Toyota Fortuner dan BMW,” jelas Aspalila.
