Memiliki motosikal curi, lelaki warga asing ditahan polis

TAWAU : Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki memiliki sebuah motosikal curi di ladang sawit di sekitar Kampung Andrassy, Tawau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berumur 33 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Seri Indah (BSI) sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah (RCJ).

Katanya, ketika menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di sekitar Kampung Andrassy, Tawau pihak Polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di hadapan rumahnya.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek tersebut gagal menunjukkan sebarang dokuman perjalanan diri yang sah. Kes ini akan dirujuk kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kita juga menjalankan pemeriksaan di bawah rumah suspek tersebut polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha warna biru,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jasmin berkata, pemeriksaan terhadap nombor enjin serta casis mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang pada 17 Mei lalu.

“Sebelum ini, satu laporan polis dibuat mangsa berumur 56 tahun mendakwa motosikal miliknya hilang disyaki dicuri di belakang kedai sekitar Batu 5 Jalan Apas 17 Mei lalu.

“Suspek kemudianya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” jelas Jasmin.