Kerajaan perlu haramkan penjualan asid secara terbuka di Sabah – Masiung

KOTA KINABALU : Kerajaan digesa mengharamkan segera penjualan kimia berbahaya termasuk asid sulfurik pekat dijual secara terbuka di pasaran negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri serta persekutuan perlu segera mengharamkan penjualan asid berbahaya itu di pasaran tempatan.

Katanya, pihak berwajib perlu melihat perkara ini dari sudut negatif manakala lesen penjualan asid kimia itu wajar dikaji semula.

“Kita bimbang tindakan kejam menyimbah asid akan menjadi trand sesiapa sahaja yang berniat zalim untuk menyerang mangsa secara terbuka.

“Kebelakangan ini bahan kimia itu sering disalah guna untuk dijadikan senjata mengancam nyawa manusia kerana ia begitu mudah diperoleh tanpa kewalan yang ketat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masiung berkata, penjualan asid berbahaya itu wajar diharamkan berikutan kerana kelak ia akan menjadi ikutan sesiapa sahaja untuk menyerang mangsa termasuk pemimpin.

“Penjualan bahan kimia pekat yang tidak dikawal dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat berpanjangan kepada orang awam untuk tujuan permusuhan.

“Penjualan bahan kimia berbahaya seperti sulfurik, hidroklorik dan nitric pekat begitu mudah dibeli di kedai perkakasan logam atau hardware,” jelas Masiung.

Menurutnya, asid pekat itu juga mudah diperolehi menerusi platform e-dagang dengan harga serendah RM50 ke bawah.