PENAMPANG : Polis menahan sepasang suami isteri bersama dadah jenis syabu seberat 466.07 gram dianggarkan bernilai RM16,000 dalam dua operasi berasingan berbeza di sekitar daerah Putatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP, Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki, berusia 41 tahun sehingga plois berjaya membawa kepada tangkapan kedua seorang wanita, 34 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu peket plastik lutsinar disembunyikan berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 466.07 gram.
“Operasi tersebut dikendalikan oleh Pasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
“Manakala hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Erwansyah berkata, kedua-dua akan disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mati.
“Mereka juga boleh penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali dan kes juga turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis menyarankan masyarakat supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” jelas Erwansyah.