Mempersenda Slogan Sabah Maju Jaya, seperti menghina negerinya sendiri – Hajiji

KOTA KINABALU : Mempersenda serta memperlekeh ‘Slogan Sabah Maju Jaya (SMJ)’ merupakan sama dengan sifat seperti tidak menghormati atau tidak menyayangi bahkan menghina negerinya sendiri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau melahirkan rasa terkilannya kepada pihak tertentu yang cuba mempersenda serta memperlekehkan slogan Sabah Maju Jaya sama ada menerusi melalui penulisan atau komen di media sosial.

Katanya, walaupun SMJ, yang kini menjadi sebutan ramai, ia merupakan frasa ringkas dengan membawa mesej serta makna besar untuk mengajak setiap rakyat Sabah mencintai kemajuan dan kejayaan.

“Sabah Maju Jaya dipilih sebagai hala tuju pembangunan negeri ini kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada Jata Negeri ke kedudukan lebih tinggi.

Niat dan hasrat kita ialah mengangkat dan menjulang tinggi slogan keramat Sabah Maju Jaya dari Jata Negeri yang setiap masa terlihat serta terbaca oleh kita.

“Tetapi ramai pula memperlekehkannya dan memandang rendah usaha murni yang kita perjuangkan itu. Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, menghina negerinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Menurut Hajiji, negeri lain termasuk di negara jiran Indonesia, juga mempunyai slogan mereka tersendiri bagi melonjak kemajuan negeri masing-masing.

“Hakikatnya, kita perlu bertekad cemerlang serta tekun berusaha, lebih-lebih lagi selaku anggota perkhidmatan awam yang komited dan bertanggungjawab untuk menjadikan Sabah lebih maju serta rakyatnya berkemajuan.

“Apa juga isu dan cabaran yang mendatang, kita perlu mengharunginya bersama dengan cekal dan bijaksana. Jangan mudah terpengaruh dengan adu domba atau provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu melihat kita terus bertelingkah.

“Kita perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha menjadikan Sabah lebih maju dan berjaya,” jelas Hajiji.