LABUAN : Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA Madani) mampu meningkatkan kesederan serta kefahaman rakyat terhadap maklumat dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan di negara ini.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Azman Sipan berkata, program dianjurkan JaPen Labuan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dilihat mampu mengeratkan jaringan komunikasi antara masyarakat dan agensi kerajaan sekali gus membudayakan aktiviti khidmat masyarakat serta kesukarelaan dalam komuniti setempat.
Katanya, antara pengisian utama iaitu memberi taklimat mengenai kepada kepentingan mengisi maklumat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kepada rakyat khususnya penduduk sekitar Lubok Temiang.
“Kita mengajak ahli Komuniti Malaysia Madani (KKM) untuk menyebarkan kepentingan komuniti untuk mengisi PADU yang dihasratkan kerajaan sebagai usaha menjadi pangkalan data utama dalam mengumpul maklumat yang selamat dan komprehensif.
“JaPen Labuan mengajak semua pihak khususnya komuniti peringkat akar umbi bersama-sama menjadikan PADU sebagai pangkalan data utama sekali gus memandu penggubalan dasar serta proses membuat keputusan berpacukan data negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Program JIWA Madani yang diadakan di Kampung Lubok Temiang, di sini.
Azman berkata, mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 29 Febuari yang lalu, seramai 11,846 warga Labuan telahpun mengisi data ke dalam PADU.
“Kita menyeru kepada Komuniti Malaysia Madani (KMM) zon berkenaan menjemput penduduk kampung Sungai Labu dan sekitarnya supaya dapat hadir beramai ramai untuk menjayakan program 9 Mac ini di lokasi NADI Kampung Sungai Labu,” jelas Azman.