KOTA BELUD: Semua bahagian parti agar meningkatkan keahlian masing-masing bagi memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat bahagian dan juga cawangan.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, keahlian amat penting kerana tanpa keahlian yang ramai sesebuah parti tidak akan kuat.
“Justeru, semua bahagian parti perlu meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai untuk menjadi ahli supaya parti kita kekal kuat.
“Sebuah parti yang kuat penting dalam perjuangan menuntut hak-hak Sabah dan membela nasib orang-orang Sabah.
“Bilangan ahli juga harus diterjemahkan kepada jumlah undi dalam mana mana pilihan raya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah parti bermula dari peringkat akar umbi yang melibatkan bahagian dan cawangan.
Dr. Joachim juga menerima borang permohonan keahlian daripada 700 orang yang disampaikan oleh Ketua Bahagian PBS Pintasan, Muji Ampau.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK penganjur yang diketuai oleh Muji sendiri dan kerjasama daripada Ketua- ketua Bahagian yang lain.
