TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperketat kawalan apabila 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam siri operasi khas di sekitar daerah ini sepanjang minggu lalu.
Serbuan dilakukan hasil risikan selama hampir seminggu serta maklumat awam, membabitkan beberapa lokasi tumpuan warga asing. Dalam operasi pada 3 dan 5 Disember 2025, seramai 36 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Tawau dan Depot Imigresen Tawau dikerahkan ke lokasi sasaran.
Daripada 200 individu diperiksa, 86 ditahan – majoritinya warga Filipina dan Indonesia – kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh. Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah dalam kenyataan menegaskan, tindakan tegas tanpa kompromi akan terus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI. Masyarakat turut digesa menyalurkan maklumat mengenai keberadaan warga asing tanpa izin demi keselamatan bersama.
