8 individu ‘Geng Upik’ termasuk bekas polis diburu

KUALA LUMPUR : Lapan individu termasuk seorang bekas anggota polis yang disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah, sedang diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua individu itu mempunyai kaitan dengan sindiket Geng Upik didalangi Datuk yang didakwa di mahkamah semalam.

“Individu yang dikesan adalah bekas anggota polis yang bersara awal pada November 2021 iaitu Haibil Kiraman (Haibil), 48, dengan kali terakhir dilihat di Tawau. Turut dikesan Sahairul Din Sabudin (Bantayan); Absar Musa (Absar) masing-masing berusia 37 tahun.

“Lima lagi individu iaitu empat warga Filipina dan seorang wanita Indonesia dikenal pasti sebagai Hasan Syamsuddin (Nas Botak); Joel Edwin (Dedek); Muhammad Sing Harun Musa (Thambi); Manan Ungok (Mike) dan Rohani Mohd Yunus (Karisa),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Justeru, Ayob meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan lapan individu itu supaya menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga ahli sindiket termasuk seorang wanita yang ditahan sebelum ini akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, pada 1 Mac depan.

Katanya, tiga individu yang berusia 25 hingga 29 tahun itu kini berada di pusat pemulihan akhlak.