NABAWAN: Sejumlah RM21 juta dividen terkumpul dibayar kepada 7,000 peneroka serta pesertanya pada tahun 2021.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sebelum ini merekodkan pencapaian berjumlah RM3.4 juta pada tahun 2020 sekali gus terbaik dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, sebagai rekod tahun ini, LKTNS ingin menyasarkan pemberian dividen berjumlah RM17 juta kepada peneroka serta pesertanya.
“Faktor utama penyumbang adalah peningkatan pengeluaran hasil sawit sebanyak 68 ribu metrik tan pada tahun 2021, berbanding hanya 53 ribu metrik tan pada tahun 2020, selain peningkatan harga sawit.
“Pemberian dividen ini telah dibayar secara bulanan pada suku tahun sepanjang tahun 2021.
“Setakat suku pertama tahun ini (2022), LKTNS membayar sebanyak RM5 juta dividen, berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadhan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid Al-Hidayah di sini semalam.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan mahu agar SLDB memainkan peranan penting dalam membantu membasmi kemiskinan masyarakat luar bandar dengan pembangunan tanah berasaskan pertanian.
“Sehingga kini LKTNS melaksanakan pembangunan tanah serta penanaman semula sawit di seluruh Sabah melibatkan kawasan seluas 38 ribu hektar dengan tanaman sawit dan sebahagian kecil getah,” katanya.