KOTA KINABALU: Penjualan tiket Borneo Rock Festival (BRF) 2023 yang kini sudah mencapai 70 peratus setakat ini dan diyakini mampu mendapat sambutan luar biasa rakyat Sabah.
Malahan sambutan masyarakat menerusi pelbagai platform media sosial turut memperlihatkan BRF 2023 adalah suatu penganjuran yang bertepatan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Penganjurnya, Datuk Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung dan setakat ini, 10,000 tiket diberikan kepada Sabah Motor Day (SMD) untuk dijual kepada ahli kelab masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 5,000 keping tiket sudah terjual setakat 1 Disember lepas.
“Oleh itu, ahli-ahli lain belum mendapatkan tiket, belilah dengan kadar segera kerana kita percaya ramai yang ingin datang memeriahkan festival rock ini yang julung kali diadakan di Sabah.
“Selain itu, 10,000 tiket untuk dijual kepada orang awam pula kita jangkakan boleh habis terjual dalam masa dua hingga minggu ini sebelum festival berlangsung pada 30 Disember di Stadium Likas,” katanya pada sidang media BRF, pada Sabtu lepas.
Turut hadir vokalis kumpulan Wings Datuk Awie, vokalis kumpulan Search Datuk Amy dan vokalis Butterfingers Emmett.
Sementara itu, Awie yang ditemui berpendapat BRF 2023 bukan hanya sekadar festival muzik semata-mata tetapi suatu platform bermanfaat bagi band tempatan Sabah menimba ilmu agar dapat meningkatkan mutu persembahan masing-masing.
“Festival ini secara tidak langsung juga boleh mengetengahkan band-band tempatan yang ada di negeri ini dan saya berharap mereka akan memberikan persembahan terbaik selain melihatkan sendiri cara band senior seperti Search dan Wings yang sudah berpengalaman lebih 20 sehingga 30 tahun bergelar anak seni.
“Band-band anak muda ini perlu bersyukur dan menggunakan peluang sebaik mungkin disebabkan bukan semua mempunyai kelebihan seumpama ini,” katanya.
Dalam pada itu, vokalis Search, Datuk Amy
berharap BRF 2023 boleh memeriahkan lagi industri muzik Malaysia malahan mengangkat kepelbagaian muzik di Sabah yang mempunyai ramai penyanyi serta pemuzik baharu yang berbakat.
“Sabah memiliki ramai penyanyi serta pemuzik muda berkualiti yang boleh digilap untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Saya percaya festival ini nanti adalah kita boleh ibarat sebagai medan untuk anak-anak muda ini mempamerkan kehebatan mereka.
“Mungkin bermula daripada pentas festival itu nanti, band-band Sabah ini akan mengembangkan bakat mereka ke seluruh Malaysia malahan peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, selain kumpulan Search dan Wings, tiga kumpulan terkemuka tanah air yang bakal menghiburkan penonton adalah Hujan, Butterfingers dan A.C.A.B.
Selain itu, festival turut diserikan dengan persembahan 10 band tempat Sabah seperti Maka Amef, Mahkluk, Silversun, Suka Suki, Markaz79, Beyond My Rage, Dita Darcia, Gutaeters, Measmata dan Melodychain.