KUALA PENYU: Seramai 52 orang Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan peralatan kelengkapan rumah selepas terkesan akibat banjir di Kampung Kerukan baru-baru ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Mohd Taib berkata, sumbangan ini mampu meringankan beban mangsa selepas terkesan akibat banjir berlaku di kampung tersebut bulan lalu.
Katanya, ketika kejadian penduduk kampung tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka berikutan air banjir naik secara mendadak.
“Kita tampil menyalurkan sumbangan ini meskipun hanya bantuan kecil namun bagi mereka amat besar maknanya.
“Selain peralatan, kita juga salurkan bekalan makanan keperluan harian kepada mangsa banjir agar dapat meringankan sedikit bebanan mereka,” katanya.
Abdul Rahman berkata UMNO ketika ini giat melaksanakan tanggungjawab sosialnya membantu menghulurkan bakul makanan kepada mereka menjalani kuarantin di rumah ekoran COVID-19.
“Kita sempat memberikan peringatan agar mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan selain mengutamakan aspek kebersihan sekali gus mematuhi mengelak berkumpul secara beramai-ramai,” katanya.