KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperkenalkan ‘Kad Prabayar’ bagi membanteras aktiviti penyambungan haram di negeri ini.
Ketua Pegawai Transformasi, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, kad ini digunakan penduduk tinggal di kawasan penempatan setinggan yang layak untuk dalam perkhidmatan berkenaan.
Katanya kerajaan negeri pada dasarnya meluluskan cadangan ini bagi mendapatkan bekalan elektrik khususnya di kawasan penempatan setinggan yang akan dikenalpasti kelak.
“Bekalan elektrik diberikan kepada penduduk kawasan penempatan setinggan lebih mudah hanya perlu menambah nilai kad itu mengikut kesesuaian penggunaan isi rumah pada setiap bulan.
“Kerajaan negeri menjalin kerjasama bersama dengan Suruhanjaya Tenaga. Dalam tempoh sama SESB dalam proses memuktamadkan prosedur serta tatacara pembekalan khususnya di kawasan penempatan setinggan di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Norhizami berkata SESB memahami keperluan bekalan elektrik pada setiap premis namun prosuder perlu diambil kira bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku di masa depan.
“Penyambungan secara haram memang ditegah dan kita perlu pastikan bekalan elektrik diperoleh secara sah mengikut prosedur sedia ada disamping turut mematuhi aspek keselamatan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan media dikeluarkan Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan pada Sabtu lalu menyatakan SESB alami kerugian jutaan ringgit akibat karenah biokrasi.