TAWAU: Sebanyak 40 rumah setinggan musnah dalam kebakaran besar di Kampung Titingan, di sini pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abd Fattah, berkata kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 131 x 147 meter dan melibatkan rumah jenis tidak kekal.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 900 kaki dengan enam pancutan air. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba, lori tangki, pili bomba dan air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berdepan kesukaran akibat tekanan air rendah serta tiupan angin tidak menentu, menyebabkan api cepat merebak ke rumah bersebelahan.
Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang selepas memastikan kawasan selamat.
Seramai 25 anggota bomba BBP Tawau bersama 7 anggota Bomba Komuniti Titingan terbabit dalam operasi itu dengan bantuan Unit Dron JBPM.
Turut membantu ialah agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Air Negeri Sabah.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
