40 PTI, pengedar dadah ditahan Operasi Bersepadu ESSCOM

TAWAU : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan 40 individu termasuk pendatang tanpa izin (PTI) serta pengedar dadah dalam operasi bersepadu dijalankan sekitar Tawau serta Kalabakan, di sini baru-baru ini.

Komandernya, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya melaksanakan 146 pemeriksaan fizikal membabitkan orang awam, 26 rumah serta premis perniagaan.

Katanya, ini termasuk membabitkan tiga kenderaan dijalankan sepanjang operasi bersepadu bermula 24 hingga 26 Julai lalu.

“Operasi ini menyasarkan kawasan panas termasuk Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, Road Check Point (RCP) Kalabakan serta penempatan di pinggir bandar dan kampung.

“ESSCOM juga menumpukan pemeriksaan di sekitar kawasan laluan dilaporkan sering berlaku ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Victor berkata, operasi bersepadu ini turut merampas dadah jenis syabu seberat 125.64 gram, cecair ketum dalam 41 botol berkapasiti 1.5 liter dan wang tunai sebanyak RM950.

“Saringan air kencing juga dilakukan terhadap semua tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” jelas Victor.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Sabah Electricity (SE) melaksanakan pemotongan sambungan elektrik haram menyebabkan kerugian mencecah RM750,000.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 35 saman dan dua notis periksa kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Victor berkata, operasi ini adalah antara usaha berterusan menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM yang menggabungkan aset dan kekuatan pelbagai agensi di negeri ini.