38 Ahli Parlimen bertukar parti sejak PRU-14

KUALA LUMPUR: Seramai 38 Ahli Parlimen sudah bertukar parti, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, sehingga Februari tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perbincangan sedang giat dibuat untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

“RUU ini akan dibentangkan di Parlimen setelah perkara dasar dan definisi lompat parti dimuktamadkan.

“Ini kerana terdapat perbezaan pandangan berhubung definisi lompat parti daripada setiap parti politik yang perlu diselesaikan sebelum RUU ini boleh dibentangkan,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) di Dewan Rakyat.

Sebahagian besar Ahli Parlimen yang bertukar parti sebelum ini adalah dari PKR, UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) yang bertukar ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau BERSATU ke Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta MUDA.