36 mangsa banjir di Kampung Garinono dipindahkan susulan rumah dinaiki air

SANDAKAN : Seramai 36 mangsa banjir dari enam buah keluarga di Kampung Garinono, Batu 25 dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan rumah mereka dinaiki air sejak pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, dalam kenyataan setakat pukul 5 petang tadi menyatakan enam rumah dan sebuah sekolah dilaporkan dinaiki air.

36 mangsa banjir di Kampung Garinono dipindahkan susulan rumah dinaiki air

Mangsa terjejas terdiri daripada 22 lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, seorang warga emas dan dua bayi.

Mereka dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian.

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan telah menerima panggilan kecemasan lebih kurang pukul 6 pagi dan sepasukan anggota bomba bersama kenderaan utiliti kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

36 mangsa banjir di Kampung Garinono dipindahkan susulan rumah dinaiki air

Operasi memindahkan mangsa banjir kemudian dilakukan pasukan bomba bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta Pusat Khidmat Pejabat Parlimen Libaran.

Pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa sehingga air banjir turun dan penduduk dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.