Penduduk alami sakit, muntah akibat terhidu sisa toksik kegiatan lombong haram di Bukit Mantri, Balung

TAWAU : Penduduk kampung menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan drastik sekali gus menutup segera operasi kegiatan perlombongan emas haram di Bukit Mantri, Balung, Tawau yang kini menjejaskan kesihatan penduduk kampung berhampiran.

Wakil penduduk Kampung Balung, Zahidi Ramlee berkata, beberapa ahli keluarganya mengalami gejala demam panas serta muntah kemungkinan kesan akibat terhidu sisa toksik (Sodium Cyanide) yang tidak terkawal akibat kegiatan perlombongan haram tersebut.

Katanya, jika kegiatan ini masih berterusan penduduk kampung mungkin akan mengalami penyakit lebih besar apabila perlombongan haram ini masih lagi beroperasi.

“Setakat ini apa yang penduduk Kampung Balung dapat….Hanya penyakit serta kesan buruk kepada kesihatan penduduk kampung kemungkinan ini boleh berlarutan dalam tempoh jangka masa panjang.

“Mereka (kontraktor) yang beroperasi mengendalikan perlombongan haram ini mungkin boleh mengaut keuntungan berlipat-ganda hasil bumi di kampung kami,” katanya kepada Sabah News Today, hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung hanya ingin dikenali sebagai Cikgu Kelana berkata, pihak berkuasa perlu bertindak segera menutup lombong ini sehingga mereka memenuhi sepenuhnya keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Kami ingin bertanya, mengapa pihak berkuasa tidak mementingkan nyawa kami?, Adakah kami sengaja diracun dengan sisa toksik yang tidak terkawal?

“Adakah perlombongan emas ini lebih penting daripada nyawa penduduk Kampung Balung ini. Sehingga kini apakah yang penduduk kampung dapat hasil perlombongan ini….Mungkin royaliti sangat penting untuk kerajaan berbanding nyawa penduduk,” katanya.