KOTA KINABALU: Seramai 335 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina diusir keluar dari Sabah menerusi Pelabuhan Sandakan pada Selasa.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang kesemua PATI itu dilakukan menggunakan pengangkutan laut dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.
“Program pemindahan pulang PATI ini membabitkan 35 orang kanak-kanak yang berusia antara 23 bulan sehingga 12 tahun. Bagi tahanan dewasa pula berusia 18 hingga 64 tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang, dihantar bersama ibu bapa atau penjaga masing- masing. Kesemua tahanan pada kali ini dipindahkan dengan menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penghantran pulang PATI kali ini membabitkan tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Sandakan dan Papar.
Menurut Sitti Saleha, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan terakhir iaitu pengusiran keluar dari negara ini.
Justeru, semua warga asing diingatkan agar masuk ke Malaysia menggunakan dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah dan Malaysia.
Jelas beliau, agensi penguatkuasaan di Sabah sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini.
Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal.