33 PATI ditahan dalam operasi Imigresen di Kota Kinabalu, Kudat

KOTA KINABALU:  Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Kudat dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 16 hingga 17 Disember 2025.

Operasi yang melibatkan Ops Jaja, Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu itu dijalankan oleh 40 pegawai imigresen bagi mengesan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Sepanjang operasi, 111 individu diperiksa, terdiri daripada warganegara Malaysia dan asing. Daripada jumlah itu, 33 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu gagal memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Pecahan tangkapan melibatkan 20 lelaki dan 13 perempuan, majoritinya warganegara Filipina, termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia. Semua individu dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

JIM Sabah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekang kemasukan dan penyalahgunaan pendatang asing tanpa izin di Sabah,” kata pihak JIM dalam kenyataan media rasmi.