KOTA KINABALU: Ekspo Antarabangsa Sabah 2023 (SIE2023) berjaya menarik pempamer pelbagai produk dari 21 negara dengan kira-kira 300 gerai pameran disediakan untuk kunjungan orang ramai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Pameran yang berlangsung bermula semalam hingga Ahad ini turut dihadiri beberapa duta asing ke Malaysia untuk bersama pempamer dari negara masing-masing, antaranya dari Thailand, Qatar dan Zimbabwe.
Hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut meluangkan masa meninjau pameran bertaraf antarabangsa itu bermula dengan Pavilion Thailand yang merangkumi 70 gerai dan yang terbesar dalam SIE kali ini.
Kunjungan Hajiji bersama rombongan ke Pavilion Thailand disambut duta negara itu ke Malaysia, Lada Phuma sebelum disajikan dengan persembahan penari muda dari negara itu, bersempena Minggu Mini Thailand.
Selepas itu, Ketua Menteri turut singgah di gerai Pavilion Brunei Darussalam yang mengandungi sebanyak 26 gerai, diikuti Pavilion Indonesia dan beberapa agensi kerajaan negeri.
Mengiringi Hajiji sepanjang tinjauan itu ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Phoong Jin Zhe.