3 lelaki positif syabu, warga asing turut dicekup

SANDAKAN: Tiga lelaki tempatan termasuk seorang warga asing ditahan dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 10.30 pagi itu, pasukan BSJND menyerbu kawasan Kampung Melayu dan Taman Seri Labuk bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penagihan dadah.

Hasil operasi, dua lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi lelaki tempatan serta seorang warga asing disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri.

Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing polis.

Keputusan ujian mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine atau syabu.

Semua mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.

Operasi itu dilaksanakan selaras tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, bagi membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.