SANDAKAN: Tiga lelaki ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan di sekitar Kampung Bokara, di sini, Jumaat lalu.
Operasi yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 8 malam itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Dalam operasi itu, seorang lelaki ditahan kerana disyaki sebagai penagih dan ditangkap mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi lelaki ditahan atas kesalahan disyaki memasukkan dadah ke dalam badan sendiri.
Pada hari sama, BSJND turut menahan seorang lagi lelaki atas kesalahan lain sebelum dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman dalam usaha berterusan membanteras jenayah dadah di daerah ini.
