242 kilang beroperasi di KKIP, wujud 7,963 peluang pekerjaan

KOTA KINABALU: Terdapat 242 buah kilang telah beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) setakat Februari tahun ini yang telah mewujudkan 7,963 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan yang dijana adalah RM 1.680 billion.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kilang-kilang ini adalah terlibat dalam pelbagai rangkaian industri iaitu 17 entiti adalah dalam sektor berasaskan kayu sebanyak 39 adalah berasaskan makanan, 65 dalam sektor pergudangan dan lain-lain aktiviti seperti berasaskan besi, getah, plastik, logistik, elektronik dan elektrikal, automotif dan lain-lain.

Katanya dalam pada itu, sebanyak tujuh entiti terlibat dalam operasi penyediaan utiliti, 21 entiti Penyelidikan dan Pembangunan, Institusi Latihan dan sekolah-sekolah.

Menurutnya komponen ini menyediakan sebanyak 1,516 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan berjumlah RM 1.42 billion.

Sektor komersil menyediakan peluang pekerjaan kepada 523 orang dengan nilai pelaburan sebanyak RM48 juta,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Inanam Peto Galim pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang ke-16 di sini, hari ini.

Joachim juga berkata pada tahun lalu, Sabah telah menerima suntikan pelaburan asing dan domestik sebanyak RM4.47 bilion dan menghasilkan 7,400 peluang pekerjaan.

Katanya dengan adanya pelaburan ini, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri Sabah dari sudut tukaran wang asing dan juga kutipan cukai.

Menurutnya bagi tahun ini, kementeriannya bakal menerima satu lagi pelaburan berteknologi tinggi dari China yang akan membuka kilang pembuatan kaca solar panel di KKIP.

Katanya majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai penyewaan tanah telahpun diadakan pada 17 Mac lepas dan pembinaan kilang akan bermula pada pertengahan tahun ini di atas keluasan tanah seluas 130 ekar.

Ini akan melibatkan nilai pelaburan ini adalah sebanyak RM2 billion dan akan menyediakan sebanyak 1,700 peluang pekerjaan, katanya.