KOTA KINABALU: Dua individu hilang selepas bot pam dinaiki terkena letupan bom ikan dalam kejadian di Pulau Tatagan di daerah Semporna, di pantai timur Sabah.
Kejadian itu dipercayai berlaku semalam tetapi hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata, bilik kawalan Semporna dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh polis pada 10.34 pagi tadi.
“Menurut saksi, kejadian itu berlaku semalam dan dua individu dalam bot pam terbabit masih tidak dapat dikesan,” katanya dalam laporan FMT hari ini.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat apakah yang sebenarnya berlaku semalam.
Dipercayai dua mangsa itu terkejut lalu tercampak ke laut dalam letupan yang terkena bot mereka.
Misran berkata, operasi mencari terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) dan Taman-taman Sabah sudah dimulakan.
Pada 5 Julai 2019, dua pelancong China dan seorang penyelam tempatan maut akibat bom ikan di luar perairan Semporna.
Ketika kejadian, Zhao Zhong dan Xu Yingjie, kedua-duanya berusia 26 tahun, serta jurulatih selaman, Ab Zainal Abdu, 30, sedang menyelam dekat Pulau Kalapuan.
Polis pada awalnya, menahan dua individu, disusuli 10 lagi turut ditahan untuk disoal siasat.
Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan dan tiada individu didakwa setakat ini akibat kekurangan saksi.
Isnin lalu, lima lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti mengebom ikan terjun ke laut di perairan Tanjung Wokong, Pulau Gaya dan berenang ke pantai berhampiran bagi mengelak daripada ditahan APMM. Bot mereka dan ikan tangkapan seberat 150kg kemudiannya dirampas.